Monday, March 7, 2022

Terengganu hidupkan projek ‘sakit’ Rimbunan Kaseh

Hampir 100 penghuni terima kunci, surat tawaran RMM


Oleh : KHAIRUL AZLAM MOHAMAD 

 Foto : WAN ABDUL RAHMAN


DUNGUN: 10 Mac (Hrkh)- Kerajaan Terengganu antara satu-satunya yang berjaya memulihkan kembali projek ‘sakit’ di beberapa negeri lain bagi Program Rimbunan Kaseh yang terbengkalai sejak 2015 hingga 2017 lalu.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tanggungjawab kerajaan negeri ialah untuk membela rakyat, pabila diberikan amanah untuk menguruskan sektor pertanian negeri Terengganu. 


“Bermula bulan Mei 2018, antara yang saya minta daripada pegawai-pegawai saya ialah tolong senaraikan mana-mana projek bersaiz mega yang perlu kita lakukan sesuatu untuk dipulihkan, apabila projek ini tidak mencapai objektif dari segi matlamat pelaksanaannya.


“Saya suka istilahkan projek gagal. Sebab (bila) gagal, kita kena tutup buku. Gagal itu bermakna tidak berjaya.


“Projek ini suatu projek yang sangat baik. Dirancang dengan begitu teliti tetapi sayangnya, bermula dari pelaksanaannya tahun 2015 lalu akhirnya terbengkalai tahun 2017,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Kunci dan Surat Tawaran Rumah Mampu Milik (RMM) Rimbunan Kaseh, Rantau Abang di Dewan Terbuka RMM Rantau Abang, Dungun, 7 Mac lalu.


Menurutnya, projek dari program Rimbunan Kaseh seumpama ini juga terdapat di beberapa negeri lain yang turut terbengkalai.


Justeru, kata Dr Azman, kerajaan telah memberi satu tanggungjawab kepada negeri melalui Jawatankuasa Khas Projek Rimbunan Kaseh ini. 


“Kita bincang, mesyuarat dan kita susun atur semula. Bagaimana projek yang begini baik untuk kita pulihkan semula.


“Nilaiannya (projek) ini kira-kira RM27 juta. Ianya terdiri dari dua komponen iaitu pertama, komponen perumahan dan kedua, komponen ladang.


“Alhamdulillah, menjelang tahun 2020 lalu, kita telah berjaya pulihkan komponen ladang melalui anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) dan dimakmurkan, dihijaukan semula dengan tanaman Melon Manis Terengganu (MMT).


“Kedua, pulihkan projek perumahan yang ada 100 buah rumah dan termasuk sebahagian rumah telah mengalami kerosakan. 


“Kita bincang bersama dengan UPEN (Unit Perancang Ekonomi Negeri), PERMINT (Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu), JKR (Jabatan Kerja Raya), Majlis Daerah Dungun (MDD), SATU (Syarikat Air Terengganu), Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rantau Abang dan Pejabat Daerah Dungun,” jelasnya.


Menurut Dr Azman, projek Rimbunan Kaseh ini di bawah kerajaan Persekutuan Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Syarikat IRIS Corporation Berhad (IRIS). 


“Bermula sejak 2015, ada komponen perumahan dan komponen ladang. Ada 100 buah rumah dan 26 ‘greenhouse’, 400 tangki ikan dan hingga 2017, projek ini terbengkalai dan tidak terurus.


“Kos pembinaan sebuah rumah ini kira-kira RM140,000 diberikan kepada peserta mengikut kaedah sewa beli dengan harga RM68,000 sahaja. Sewa beli ini selama 25 tahun, kira-kira RM180.00 sebulan dan ini tidak membebankan rakyat,” ujarnya. 


Katanya, daripada 85 peserta asal telah ditambah 10 orang peserta baharu yang turut menerima surat tawaran hari ini.


“Alhamdulillah, hari ini 85 orang akan terima kunci rumah. Walaupun sebenarnya (penghuni) duduk lama doh (sudah) tetapi sebelum ini, bukan milik, duduk dalam keadaan tidak tentuan. 


“Kami (kerajaan PAS) janjikan hendak bagi hak milik. Hari ini kita tunaikan, Insya’Allah.


“Saya (Dr Azman) tidak campur dalam urusan pemilihan peserta. Kita hanya jaga bahagian dasar dan perkara-perkara besar. Soal-soal teknikal kita serahkan kepada jabatan-jabatan, agensi dan pemimpin setempat,” tegasnya.


Hadir sama pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Cikgu Alias Harun, Pegawai Daerah Dungun, Jusman Ibrahim, Yang Dipertua Majlis Daerah Dungun (MDD), Azizul Abdul Hadi dan Timbalan Pengarah Pertanian Terengganu, Zulkifli Amin Mat Jusuh dan Timbalan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Ahmad Rizuan Abdul Rahman.

Sumber : Harakah.

                












Adiosss...Graciasss...!!!

No comments:

Post a Comment